Wednesday 28 February 2018

KEMPEN : JOM KENALI PERAK [ SENI WARISAN : TENGKOLOK ]

TENGKOLOK, destar atau setanjak merupakan nama yang sering digunakan bagi hiasan kepala golongan lelaki Melayu. Tengkolok merupakan antara jenis hiasan kepala golongan lelaki dunia Islam. Dalam sejarah Islam yang terdiri daripada pelbagai dinasti seluruh dunia, wujud pelbagai nama lipatan hiasan kepala lelaki. Ia digunakan sebagai sebahagian daripada kelengkapan pakaian lelaki ketika berada di luar kediaman atau ketika bertugas.

Di Asia Tenggara, satu bentuk ikatan hiasan kepala golongan lelaki dalam bentuk tertentu yang unik dan cantik diwarisi oleh masyarakat Melayu. Di Semenanjung Tanah Melayu, tengkolok merupakan antara jenis pakaian lelaki tradisional yang mengandungi falsafah dan menjadi lambang kedudukan sosial seseorang dalam masyarakat Melayu.

Antara nama tengkolok lebih dikenali berbanding yang lain ialah Dendam Tak Sudah. Nama ini mempunyai beberapa gaya dan bentuk ikatan berbeza mengikut negeri, antara negeri mempunyai warisan ikatan tengkolok yang cantik ialah Perak.

Terdapat lapan bentuk ikatan tengkolok negeri Perak yang dapat direkodkan dalam sebuah kajian dijalankan oleh Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Jenis-jenis tengkolok yang digunakan di Perak ialah seperti Anak Gajah Menyusu, Dendam Tak Sudah, Ayam Patah Kepak, Alang Iskandar, Helang Menyusur Angin, Pucuk Pisang Patah, Balong Ayam dan Getam Pekasam.

Lipatan tengkolok yang digunakan oleh Sultan Perak, DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah boleh digunakan oleh rakyat dengan perkenan baginda dan tengkolok yang diikat untuk rakyat mempunyai saiz lebih kecil terutama sekali di bahagian pucuk rebung. Lipatan tengkolok raja mempunyai bahagian pucuk rebung yang tinggi. Tengkolok Helang Menyusur Angin digunakan oleh Sultan Perak sebagai tengkolok rasmi selepas baginda ditabalkan sebagai Sultan Perak ke-35.

Antara lapan ikatan berikut, empat daripadanya telah semakin dilupakan. Berikut adalah antara nama tengkolok negeri Perak yang semakin dilupakan, Anak Gajah Menyusu, Pucuk Pisang Patah, Dendam Tak Sudah dan Balong Ayam.

Tidak semua pengikat tengkolok boleh mengikat semua jenis tengkolok dan lipatannya. Kebanyakan lipatan tengkolok akan hilang setelah pengikatnya meninggal dunia. Ikatan tengkolok merupakan satu kemahiran yang boleh dipelajari dan diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi seterusnya. Namun, permintaan lipatan dan penggunaan yang semakin berkurangan menjadikan beberapa gaya ikatan dilupakan, sekali gus akan hilang ditelan zaman.


Maka dengan ini berakhirlah Kempen Jom Kenali Perak, kami mewakili semua barisan kepimpinan BKAPJ 17/18 mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli BKAPJ di Jordan mahupun di Malaysia atas sokongan yang diberikan bagi menjayakan kempen ini. ðŸ¤—

Disediakan oleh : Biro Publisiti dan Multimedia
.: Ukhuwah Dirasai, BKAPJ Di Hati :.

No comments:

Post a Comment

AGIHAN BARANG ASASI ‘WE SHARE, WE CARE’ MANTIQAH MU’TAH

[ AGIHAN BARANG ASASI ‘WE SHARE, WE CARE’ MANTIQAH MU’TAH ] Assalamualaikum WBT. Pada 25 Disember 2019, perwakilan BKAPJ Mu’tah ...