Wednesday 28 February 2018

HAFLAH KHIRRIJIN MANTIQAH MU'TAH

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah, pada 25 Februari yang lalu telah berlangsungnya Haflah Khirrijin bagi mantiqah Mu'tah yang bertempat di Bayt Sana', Mu'tah.

Jutaan terima kasih kepada semua yang hadir bagi menjayakan haflah ini. Terima kasih juga diucapkan kepada semua khirijin yang bergotong-royong menyediakan makanan dan semua yang membantu melancarkan program.

Mohon maaf atas segala kekurangan dan ketelanjuran. Di sini kami selitkan beberapa moment yang sempat dirakam oleh jurukamera.







Terima kasih banyak kepada semua dan jumpa di agm BKAPJ tak lama lagi 😉

Disediakan oleh : Perwakilan Mu'tah & Biro Publisiti dan Multimedia
.: Ukhwah Dirasai, BKAPJ Di Hati :.

KEMPEN : JOM KENALI PERAK [ SENI WARISAN : TENGKOLOK ]

TENGKOLOK, destar atau setanjak merupakan nama yang sering digunakan bagi hiasan kepala golongan lelaki Melayu. Tengkolok merupakan antara jenis hiasan kepala golongan lelaki dunia Islam. Dalam sejarah Islam yang terdiri daripada pelbagai dinasti seluruh dunia, wujud pelbagai nama lipatan hiasan kepala lelaki. Ia digunakan sebagai sebahagian daripada kelengkapan pakaian lelaki ketika berada di luar kediaman atau ketika bertugas.

Di Asia Tenggara, satu bentuk ikatan hiasan kepala golongan lelaki dalam bentuk tertentu yang unik dan cantik diwarisi oleh masyarakat Melayu. Di Semenanjung Tanah Melayu, tengkolok merupakan antara jenis pakaian lelaki tradisional yang mengandungi falsafah dan menjadi lambang kedudukan sosial seseorang dalam masyarakat Melayu.

Antara nama tengkolok lebih dikenali berbanding yang lain ialah Dendam Tak Sudah. Nama ini mempunyai beberapa gaya dan bentuk ikatan berbeza mengikut negeri, antara negeri mempunyai warisan ikatan tengkolok yang cantik ialah Perak.

Terdapat lapan bentuk ikatan tengkolok negeri Perak yang dapat direkodkan dalam sebuah kajian dijalankan oleh Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Jenis-jenis tengkolok yang digunakan di Perak ialah seperti Anak Gajah Menyusu, Dendam Tak Sudah, Ayam Patah Kepak, Alang Iskandar, Helang Menyusur Angin, Pucuk Pisang Patah, Balong Ayam dan Getam Pekasam.

Lipatan tengkolok yang digunakan oleh Sultan Perak, DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah boleh digunakan oleh rakyat dengan perkenan baginda dan tengkolok yang diikat untuk rakyat mempunyai saiz lebih kecil terutama sekali di bahagian pucuk rebung. Lipatan tengkolok raja mempunyai bahagian pucuk rebung yang tinggi. Tengkolok Helang Menyusur Angin digunakan oleh Sultan Perak sebagai tengkolok rasmi selepas baginda ditabalkan sebagai Sultan Perak ke-35.

Antara lapan ikatan berikut, empat daripadanya telah semakin dilupakan. Berikut adalah antara nama tengkolok negeri Perak yang semakin dilupakan, Anak Gajah Menyusu, Pucuk Pisang Patah, Dendam Tak Sudah dan Balong Ayam.

Tidak semua pengikat tengkolok boleh mengikat semua jenis tengkolok dan lipatannya. Kebanyakan lipatan tengkolok akan hilang setelah pengikatnya meninggal dunia. Ikatan tengkolok merupakan satu kemahiran yang boleh dipelajari dan diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi seterusnya. Namun, permintaan lipatan dan penggunaan yang semakin berkurangan menjadikan beberapa gaya ikatan dilupakan, sekali gus akan hilang ditelan zaman.


Maka dengan ini berakhirlah Kempen Jom Kenali Perak, kami mewakili semua barisan kepimpinan BKAPJ 17/18 mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli BKAPJ di Jordan mahupun di Malaysia atas sokongan yang diberikan bagi menjayakan kempen ini. 🤗

Disediakan oleh : Biro Publisiti dan Multimedia
.: Ukhuwah Dirasai, BKAPJ Di Hati :.

KEMPEN : JOM KENALI PERAK [ SENI WARISAN : SENI TEKAT BENANG EMAS ]

Seni tekat yang juga dikenali dengan nama bersujia amat popular dalam pembuatan untuk kegunaan dalam pakaian buat Sultan Perak pada satu ketika dahulu. Asal perkataan tekat membawa makna perkataan untuk kata kerja yang membawa maksud membuat kerja-kerja menyulam benang ke atas kain dasar. Dalam seni tekat sulaman yang merupakan warisan negeri Perak ini, benang yang digunakan adalah benang emas dan kain dasar yang digunakan adalah kain jenis baldu. Seperti yang anda maklum, kerja-kerja menekat memerlukan pemidang untuk meregangkan kain baldu dan juga mempulur sebagai acuan motif serta benang emas untuk membentuk bunga tekat. Inilah keunikan yang membuatkan ianya lain daripada seni tekat yang lain. Seni tekat kebiasaannya adalah hasil dari kerja tangan wanita yang mempunyai daya kreativiti yang tinggi dan dikatakan untuk menyiapkan satu hasil seni tekat yang lengkap, ia mengambil masa yang agak lama.

Asal-usul seni tekat ini selalu dikaitkan dengan kegunaan pakaian dan kelengkapan keluarga raja-raja atau istana. Perkembangan awal seni tekat dapat dikesan sejak pada awal kurun ke 15 lagi, iaitu semasa zaman keagungan Sultan Melayu Melaka. Kesan penggunaan sulaman ini dapat dilihat di kalangan masyarakat Cina yang keturunan Baba Melaka. Ia masih lagi boleh lihat hari ini pada pakaian mereka yang dikenakan sulaman tekat.

Dalam sejarah Perak, seni tekat diangkat sebagai pakaian rasmi buat Sultan Abdullah Muhammad Shah II yang merupakan Sultan Perak ke-26. Pada mulanya, pakaian hasil dari seni tekat ini dilarang penggunaannya sama sekali untuk rakyat biasa walaupun mempunyai gelaran orang-orang kaya serta hartawan sekalipun kecuali atas kurnia dan perkenan Sultan sahaja. Kemahiran dalam seni untuk membuat tekat juga dimonopoli oleh golongan diraja sahaja pada waktu itu.

Untuk pengetahuan, permaisuri kepada Sultan Idris I yang merupakan Sultan Perak ke-28 iaitu Raja Nuteh Aishah dan juga merupakan anakanda puteri kepada Sultan Yusuf Sharifuddin (Sultan Perak ke-27) adalah seorang tukang tekat yang begitu mahir sehinggakan hasil tekatan baginda sering kali dipersembahkan sebagai hadiah dan kegunaan baginda Sultan Idris I sendiri dan juga kerabat lain. Kebiasannya, hasil tekatan Raja Nuteh Aishah yang amat berharga akan digunakan pada waktu dan majlis yang tertentu dan istimewa sahaja. Antaranya adalah seperti istiadat perkahwinan kerabat diraja, istiadat pertunangan kerabat diraja, untuk majlis dalam khatam Al-Quran, berkhatan dan bertindik. Sudah menjadi lumrah pada waktu itu, kawasan yang terkenal dengan seni tekat ini adalah Bandar Diraja Kuala Kangsar, Sayong, Kota Lama dan Kota Lama Kiri (yang kini dikenali dengan nama Kampung Belanja dan Kampung Sadong). Setiap kali menyebut perkataan itu, pasti sudah dapat membayangkan kehalusan dan keindahan seni warisan Melayu tradisional di negeri Perak itu.



Disediakan oleh : Biro Publisiti dan Multimedia
.: Ukhuwah Dirasai, BKAPJ Di Hati :.

KEMPEN : JOM KENALI PERAK [ INFO MENARIK : JAMBATAN NORDIN, PARIT ]



Jambatan Nordin memainkan peranan yang amat penting dalam menghubungkan jalan antara Pekan Parit dan Tanjung Belanja yang juga merupakan laluan jalan Ipoh ke Bruas. Jambatan Nordin ini mempunyai nilai sentimental yang tinggi buat penduduk di sekitarnya kerana pada asalnya, ia hanya berkerangka besi dan berlantaikan kayu sahaja. Pada waktu itu, jambatan itu juga dipanggil sebagai Jambatan Bailey.

Jambatan Bailey ialah sejenis jambatan mudah alih pasang siap yang mempunyai kekuda. Jambatan jenis ini dibangunkan oleh pihak British untuk kegunaan tentera semasa Perang Dunia Kedua dan banyak digunakan oleh unit-unit askar jurutera British dan Amerika Syarikat. Apabila lalu sahaja di jambatan itu dengan kenderaan, bunyinya boleh kedengaran dari jauh.

Sebuah jambatan Bailey memiliki kelebihan kerana pembinaannya tidak memerlukan peralatan khas atau pun berat. Bahagian-bahagian kayu dan besi bersaiz kecil dan ringan dapat diangkut menggunakkan lori dan kemudian dipasang dengan tangan tanpa penggunaan kren. Jambatan Bailey ini amat kukuh dan dapat menampung kereta kebal. Jambatan-jambatan Bailey masih kekal digunakan secara meluas dalam projek-projek pembinaan awam dan bagi menyediakan tempat laluan sementara buat pejalan kaki dan kenderaan.

Kini, Jambatan Nordin yang baru lebih kukuh dan selamat. Jambatan yang baru ini telah dirasmikan oleh Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurlah pada 7 Jun 1999.


Disediakan oleh : Biro Publisiti dan Multimedia
.: Ukhuwah Dirasai, BKAPJ Di Hati :.

KEMPEN : JOM KENALI PERAK [ TEMPAT MENARIK : LUMUT ]

Lumut merupakan bandar tepi laut yang menghadap Selat Dinding dan Selat Melaka di negeri Perak. Lokasi bandar ini bersetentangan dengan Pulau Pangkor dan dikenali ramai sebagai pintu masuk ke pulau tersebut. Sebuah pelabuhan atau pangkalan dibina di Lumut bagi kemudahan sesiapa yang ingin berkunjung ke Pulau Pangkor.

Lumut berada di bawah pentadbiran daerah Manjong yang merupakan nama baru bagi daerah Dinding. Bandar ini terletak kira-kira 84 km ke selatan bandaraya Ipoh, ibu negeri Perak. Bandar yang terdekat dengan Lumut ialah Manjong, Sitiawan, Pantai Segari, Pantai Remis dan Bota Kanan serta Seri Iskandar.

Lumut yang dahulunya dikenali sebagai "Tanah Merah" telah dibuka oleh seorang anak raja Selangor yang bernama Raja Engku Busu pada abad ke -17. Selepas beberapa tahun membuka Lumut, baginda serta pengikutnya telah diserang oleh lanun. Dengan demikian, Tanah Merah tinggal terbiar tidak didiami orang. Sungguhpun makam baginda tidak diketahui, tetapi namanya masih tinggal menjadi kenangan, yakni Bukit Engku Busu yang terletaknya di belakang bandar Lumut.

Istimewanya Lumut kerana ia merupakan sebuah lokasi yang strategik dari segi maritim. Di sini ada,
- Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia yang dipindahkan dari Woodlands, Singapura
- Pantai Teluk Batik
- Pusat membina kapal selam
- Pusat membaiki kapal
- Teluk Rubiah
- Teluk Muroh
- Marina Island Pangkor



Disediakan oleh : Biro Publisiti dan Multimedia
.: Ukhuwah Dirasai, BKAPJ Di Hati :.

Friday 23 February 2018

KEMPEN : JOM KENALI PERAK [ TEMPAT MENARIK : KUALA SEPETANG, TAIPING ]

Kuala Sepetang atau nama lamanya Port Weld, terletak berhampiran dengan bandar Taiping iaitu kira-kira 15 km sahaja. Kawasan ini merupakan kawasan paya bakau yang sangat luas dan juga mempunyai perkampungan nelayan di sekitarnya.
Sepetang merujuk kepada keindahan sinaran merah matahari di ufuk barat. Sinar merah suria di titik horizon Selat Melaka boleh menimbulkan nostalgia kepada sesiapa sahaja yang pernah menikmatinya.

Pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan di Kuala Sepetang :
1. MELAWAT HUTAN PAYA BAKAU MATANG
Pelajari tentang ekosistem hutan paya bakau. Ia menjadi tumpuan orang ramai terutamanya dari kalangan pelajar untuk penyelidikan dan pendidikan. Hutan Paya Bakau Matang berkeluasan 40,446 hektar dan terletak dalam daerah Kerian, Larut dan Matang dan Manjung.
Ada dua spesis pokok bakau yang terdapat di sini iaitu "Rhizophora apiculata" dan "Rhizophora mucronata". Ada pokok bakau yang tinggi dan ada juga anak-anak benih yang baru ditanam oleh pihak perhutanan.Hutan Paya Bakau Matang sungguh menakjubkan kerana usianya yang dikatakan tertua di dunia. Ada pokok yang berusia antara 100 - 200 tahun. Tidak hairanlah jika ada pokok-pokok bakaunya setinggi 20 - 30 meter dan membentuk kanopi yang sangat menarik.

2. MELAWAT KILANG ARANG KAYU
Berhampiran Hutan Paya Bakau Matang ini terletaknya sebuah kilang membuat arang yang sering menjadi tumpuan pengunjung untuk menyaksikan bagaimana proses penghasilan arang kayu dilakukan.

3. MELAWAT PERKAMPUNGAN NELAYAN KUALA SEPETANG
Menerusi pelayaran bot yang dibayar dalam kadar tambang antara RM30-RM80, pengunjung akan dibawa menyusur sungai sekitar perkampungan nelayan Kuala Sepetang. Semasa pengembaraan atas bot ini, pengunjung berpeluang menyaksikan kehadiran burung helang disekitarnya. Jika cukup bertuah, pengunjung juga berpeluang melihat ikan lumba-lumba yang berenang.



4. MELIHAT KELIP-KELIP DI KAMPUNG DEW
Pada waktu malam pula, pengunjung dapat menghayati keindahan cahaya kelip-kelip yang sememangnya sinonim dengan kawasan hutan paya bakau.

5. MELAWAT TAPAK SEJARAH KERETAPI PERTAMA TANAH MELAYU
Port Weld merupakan stesen keretapi yang pertama di Tanah Melayu. Pada masa awal pembinaannya, ia dijadikan sebagai pengangkutan untuk mengangkut perolehan bijih timah dari Taiping ke Port Weld.

6. MENIKMATI MEE UDANG & MAKANAN LAUT 😋😋😋
Mee Udang Kuala Sepetang antara yang paling popular sekali di Malaysia. Kalau ingin menikmati mee udang yang sedap dan takkan mengecewakan, berkunjunglah ke Kampung Menteri, Kuala Sepetang untuk menikmati Mee Udang Mak Jah.



Disediakan oleh : Biro Publisiti dan Multimedia
.: Ukhuwah Dirasai, BKAPJ Di Hati :.

KEMPEN : JOM KENALI PERAK [ TEMPAT MENARIK : MENARA CONDONG TELUK INTAN ]

Orang Teluk Intan angkat tangan sikit 🙌🏻🙋🏻‍♂️🙋🏻
Menara Condong Teluk Intan ialah sebuah menara tangki air yang kemudian dijadikan menara jam yang terletak di Teluk Intan, Perak. Ia menjadi mercu tanda bandar Teluk Intan sejak beberapa lama. Keunikan menara ini ialah ia menyerupai Menara Pisa, Itali. Menara ini dibina pada tahun 1885. Ia memiliki ketinggian setinggi 85 kaki dan terdapat 110 buah anak tangga. Walaupun telah berusia lebih 100 tahun, ia masih berdiri kukuh.
Menara ini sebenarnya merupakan takungan air sebelum adanya tangki air di Changkat Jong. Bangunan tiga tingkat ini dilengkapi dengan jam besar. Kini, menara ini tidak digunakan lagi dan hanya menjadi tarikan pelancong yang mengunjungi bandar Teluk Intan. Di bahagian bawahnya dihiasi dengan landskap yang indah seperti pasu bunga, lantai marmar dan kerusi rehat untuk bersantai seisi keluarga. Kini, bangunan purba itu mendapat julukan Menara Condong kedua di dunia selepas Menara Pisa di Itali.
Fungsi
Menurut satu kajian, tujuan pembinaan menara condong atau juga dikenali sebagai Jam Tinggi adalah seperti berikut:
- Untuk menyimpan air bagi penduduk tempatan pada musim kemarau
- Dalam memastikan kemudahan Pengurusan Air British ditingkatkan
- Untuk bekalan air sekiranya berlaku kebakaran
- Sebagai penjaga masa


Disediakan oleh : Biro Publisiti dan Multimedia
.: Ukhuwah Dirasai, BKAPJ Di Hati :.

KEMPEN : JOM KENALI PERAK [ TEMPAT MENARIK : FELDA RESIDENCE HOT SPRING ]

Felda Residence Hot Spring terletak berhampiran dengan Pekan Sungkai yang menempatkan beberapa kolam air panas semulajadi yang sesuai untuk mandi dan berendam. Terdapat juga kolam yang panas sehingga 100 darjah celsius, malah pengunjung berpeluang merebus telur di dalam kolam air panas ini. Kemudahan awam juga sangat bagus tersedia untuk pengunjung.

Kolam air panas di Felda Residence Hot Spring memang sangat bersih dan terjaga. Tidak seperti di sesetengah tempat kolam air panas lain yang kotor & tidak terjaga. Di sini juga terdapat gelongsor permainan air di kolam mandi yang agak besar & sesuai untuk anak-anak beriang ria. Pilihan penginapan di sini juga menarik dan sesuai untuk anda bermalam bersama keluarga.

Alamat: 35600, Sungai Klah Sungkai Perak, 35600 Sungkai, Perak.




Disediakan oleh : Biro Publisiti dan Multimedia
.: Ukhwah Dirasai, BKAPJ Di Hati :.

Saturday 17 February 2018

KEMPEN : JOM KENALI PERAK [ MAKANAN ISTIMEWA : BUBUR ANAK LEBAH ]

Bubur anak lebah amat popular di kawasan Perak Tengah terutamanya di kawasan Bota. Rata-rata orang lama sahaja yang tahu resipi bubur anak lebah ini. Kerana orang muda malas hendak belajar dan membuatnya kerana persediaan untuk masakan ini agak unik, perlukan kemahiran dan sangat melecehkan. Masakan dari air tangan orang muda mana boleh tandingi masakan dari air tangan orang lama, ia tidak dapat dipertikaikan sejak dari dahulu lagi.

Menurut penduduk tempatan lama di Bota, bubur anak lebah ini kebiasaannya dihidangkan untuk majlis-majlis selepas ibu baru habis berpantang. Antara majlis yang dimaksudkan adalah majlis naik buai, majlis cukur jambul, majlis akikah dan lain-lain yang berkaitan. Sejak kebelakangan ini, ada juga disediakan dalam majlis-majlis perkahwinan di kawasan kampung.

Tepung digentel dijadikan kecil seakan-akan anak lebah inilah yang menjadi tarikan kerana bentuknya umpama anak lebah seakan cendol tetapi lebih besar dan pendek.

Makanan warisan yang semakin dilupakan seperti bubur anak lebah ini seharusnya diketengahkan semula supaya ia tidak pupus ditelan zaman. Adalah satu kerugian yang amat besar sekali jika makanan yang sedap ini tidak diwarisi kepada generasi muda untuk santapan anak cucu kita.



Disediakan oleh : Biro Publisiti dan Multimedia
.: Ukhwah Dirasai, BKAPJ Di Hati :.

Friday 16 February 2018

KEMPEN : JOM KENALI PERAK [ MAKANAN ISTIMEWA : TEMPOYAK ]

Tempoyak diperbuat daripada isi buah durian. Isi durian ini diasingkan daripada bijinya dan ditambah dengan sedikit garam dan disimpan selama tiga hingga lima hari di dalam suhu bilik untuk proses penapaian. Tempoyak biasanya tidak dimakan begitu sahaja tetapi selalunya dibuat sambal atau dimasukkan ke dalam masakan seperti gulai tempoyak ikan patin atau pais ikan tempoyak. Tempoyak bukan sahaja terkenal di negeri Perak, tetapi juga terkenal di negeri Pahang yang cukup popular dengan gulai ikan patin masak tempoyak. Tempoyak juga ada dirakamkan dalam Hikayat Abdullah sebagai makanan harian bagi penduduk Terengganu sekitar 1836 dengan menyatakan bahawa makanan kegemaran mereka.

Cara memasak.
Terdapat pelbagai jenis cara masakan menggunakan tempoyak ini dan antara yang sangat terkenal ialah gulai tempoyak. Gulai ini biasa dimasak bersama ikan; antara ikan yang sesuai digulai bersama tempoyak ialah ikan patin, ikan baung dan ikan jelawat. Ia juga boleh dimasak bersama ayam bergantung kepada selera masing-masing. Selain itu, tempoyak juga boleh dibuat sambal tumis ikan bilis, pais tempoyak (ikan yang dibakar bersama tempoyak), dan sambal tempoyak (tempoyak yang digaul bersama cili padi kemudian dimakan begitu sahaja atau digoreng bersama ikan bilis).

Khasiat.
Durian yang rasanya sangat manis dan kaya dengan kalori menjadi pantang larang bagi mereka yang menghadapi penyakit kronik. Bagaimanapun seorang pensyarah kanan Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses di Fakulti dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Noorhisham Tan Kolfi menjalankan kajian mengenai tradisi ini.
Kajian menunjukkan tempoyak yang dihasilkan melalui proses penapaian ialah makanan yang baik untuk kesihatan. Dalam kajian tersebut, didapati tempoyak mempunyai nilai probiotik (miliki mikrooorganisma baik) di dalamnya. Bakteria berkenaaan boleh hidup dalam persekitaran usus dengan keadaan asid pada pH2 dan selesa dalam persekitaran pH4. Tempoyak didapati mempunyai kandungan bakteria asid laktik (Lactic acid bacteria -LAB) yang tinggi. Dalam kajian kepelbagaian, tiga pengasingan tidak dapat dikenal pasti dengan menggunakan SDS-PAGE protein sel penuh atau API 50 CH. Akan tetapi kajian yang dijalankan Noorhisham telah mengasingkan dan mengenalpasti LAB.


Disediakan oleh : Biro Publisiti dan Multimedia
.: Ukhwah Dirasai, BKAPJ Di Hati :.

KEMPEN : JOM KENALI PERAK [ MAKANAN ISTIMEWA : RENDANG TOK ]

Rendang Tok sebenarnya dikatakan berasal dari Kampung Pisang di Batu Gajah dan kemudiannya tersebar ke kebanyakan daerah di Perak. Rendang Tok merupakan hidangan Melayu tradisional yang mempunyai cita rasa dan kelazatan yang tersendiri tanpa dicampur bahan pengawet dan perasa tiruan.

Lebih unik lagi, masakan Rendang Tok ini masih disediakan menggunakan cara tradisional iaitu di atas dapur kayu. Hidangan ini dikatakan dibawa secara turun temurun sejak zaman dahulu kerana kaedah masakan yang melibatkan rempah dan bahan tradisional.

Nama rendang tok ini juga dikatakan digunakan sejak zaman dahulu lagi kerana ia dimasak oleh orang tua pada ketika itu. Adalah lebih sedap lagi jika menggunakan daging kerbau!



Disediakan oleh : Biro Publisiti dan Multimedia
.: Ukhwah Dirasai, BKAPJ Di Hati :.

KEMPEN : JOM KENALI PERAK [ TOKOH KONTEMPORARI : DATO' SHEIKH HAJI MOHAMAH NOR ]



Dato' Sheikh Haji Mohamah Nor bin Mansor Al-Hafiz merupakan ahli politik dari Perak dan menjadi Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk). Beliau juga Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia cawangan Perak dan Pengerusi Lajnah Tashih al-Quran. Sebelum bertanding dalam pilihan raya 1986, beliau adalah Imam Besar Masjid Negeri Perak, Ipoh dan Pengerusi Imam dan Bilal Negeri Perak.
Sultan Dr Nazrin Muizzuddin Shah merupakan Yang di-Pertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Perak (MAIAIMP).

Menyekat buku Kassim Ahmad.
Pada 3 Julai 1986, Sheikh Mohamah Nor Mansor mengingatkan bahawa pengharaman buku tulisan Kassim Ahmad - 'Hadis : Satu Penilaian Semula' tidak sahaja dilarang kepada orang Islam tetapi juga kepada bukan Islam. Mereka yang melanggar Undang-Undang Agama Islam Perak boleh dipenjara selama rnam bulan atau didenda RM500. Buku ini menjejaskan kepercayaan umat Islam terutama kanak-kanak dan kerajaan sepatutnya mengharamkan buku ini.

Menyekat Al-Arqam.
Pada 1994, Dato' Sheikh Mohamah Nor Mansor menyeru keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengharamkan kegiatan Al Arqam. Kajian mendalam telah dilakukan terhadap kepercayaan pengikut Asaari Muhammad terhadap Sheikh Muhammad Abdullah Al-Suhaimi yang dipercayai masih hidup dan akan muncul bersama Imam Mahdi.

Amalan takbir.
Pada 16 Februari 2009, Pengarah JAIPk Dato' Sheikh Mohamah Nor Mansor mengingatkan para penyokong parti politik yang beragama Islam supaya tidak membudayakan amalan bertakbir dan menyebut nama Allah terutama untuk mengalu-alu kehadiran dan memperbesarkan individu tertentu terutama pemimpin bukan beragama Islam.Takbir sepatutnya dilafaz atau dilaungkan untuk membesarkan keesaan Allah SWT. Takbir bukan satu slogan tetapi untuk membesarkan Allah.

Anugerah.
- Darjah Paduka Mahkota Perak (DPMP) oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan (2009)
- Tokoh Maal Hijrah Perak 1434H


Disediakan oleh : Biro Publisiti dan Multimedia
.: Ukhwah Dirasai, BKAPJ Di Hati :.

KEMPEN : JOM KENALI PERAK [ TOKOH KONTEMPORARI : DATO' HAJI ZAINUL RIJAL BIN ABU BAKAR ]



YBHG. Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar dilahirkan di Teluk Intan, Perak Darul Ridzuan. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Horley Methodist Teluk Intan, Sekolah Izzuddin Shah Ipoh dan Kolej Islam Klang. Beliau yang merupakan rakan kongsi kana Tetuan Zainul Rijal Talha & Amir, memperoleh pengiktirafan undang-undang melalui Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) LL.B (Hons) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Sarjana Undang-Undang (LL.M) Universiti Kebangsaan Malaysia dan Diploma Lanjutan Syariah & Amalan (DLSA) dari Universiti Teknologi MARA. Dato’ Haji Zainul RIjal turut diiktiraf sebagai seorang Mediator setelah memperoleh Sijil Mediasi Lanjutan dari Australia.

Penerima Pingat Ahli Mangku Negara (2007) dan Dato’ Paduka Mahkota Perak (2011) merupakan seorang Peguambela & Peguamcara (Mahkamah Tinggi Malaya) serta Peguam Syarie ini juga merupakan seorang pakar dan arif dalam beberapa pengkhususan seperti Undang-Undang Keluarga Islam, Undang-Undang Tatacara Mal, Konflik Bidangkuasa, serta bidang Perbankan dan Muamalat.

Kepakaran Dato’ Haji Zainul Rijal dalam bidang perundangan turut menjadi rujukan di peringkat antarabangsa selain khidmatnya kerap kali digunakan di peringkat kebangsaan dan negeri-negeri. Beliau juga merupakan kolumnis di beberapa akhbar tempatan yang sering menulis isu perundangan semasa dan syariah. Beliau juga sering muncul dalam program televisyen apabila dirujuk isu-isu perundangan Negara.

Beliau turut menyumbang khidmat dengan memegang beberapa jawatan penting seperti Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, mantan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Ahli Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak/Sivil, Ahli Panel dan Pakar Rujuk Komuniti Syariah Jabatan Peguam Negara, ahli Lembaga Pengajian Sarjana Undang Undang UIAM, Pengerusi Tribunal Siasatan Peguam Malaysia bagi Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam Malaysia, Pakar Rujuk Dialog Antara Penganut Agama, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Ahli Majlis Perundingan Islam, Jabatan Perdana Menteri. Beliau juga telah dilantik menjadi Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada bulan Jun 2011.

Di kalangan NGO Islam, beliau adalah salah seorang yang memimpin gerakan NGO Islam termasuklah menjadi orang yang bertanggungjawab menubuhkan beberapa gagasan NGO Islam arus perdana yang membela isu-isu Islam dan memberi perspektif yang sebenar tentang Islam dn perundangan termasuklah berjuang menentang tuntutan COMANGO tidak lama dahulu.
Dato Haji Zainul Rijal telah berkahwin dengan Datin Hajah Norliza Tarmizi dan dikurniakan enam orang cahayamata.

KERJAYA :
a) Peguambela & Peguamcara (Malaya)
b) Peguam Syarie
c) Mediator
d) Arbitrator
e) Pesuruhjaya Sumpah

PENGIKTIRAFAN & PENCAPAIAN :
1. Ahli Mangku Negara (2007)
2. Dato’ Paduka Mahkota Perak (2011)
3. Professor Andjung (MultiMedia University) (February, 2012)
4. Supperintendant (Kerhormat) Polis DiRaja Malaysia (Disember 2012)

SENARAI BUKU & ARTIKEL TERBITAN :
– Isu-Isu Syariah Jilid 1
– Isu-Isu Syariah Jilid 2
– “Keistimewaan Islam dan Undang-Undang Syariah di Malaysia, ITBM (2016)
– Mencanai siasah berpaksi agama, Sinar Harian (16 Disember 2016)
– Memahami hak anak disleksia, Utusan Malaysia (15 Disember 2016)
– Isu-Isu Syariah di Malaysia ( Kearah Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak Siri 1 )
– Isu Syariah ( Siri 2 )


Disediakan oleh : Biro Publisiti dan Multimedia
.: Ukhwah Dirasai, BKAPJ Di Hati :.

KEMPEN : JOM KENALI PERAK [ TOKOH KONTEMPORARI : DATO' DR AFIFI AL-AKITI ]

Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan Dato' Dr Afifi al-Akiti BA (Queen's), MA (Oxon), MSt (Oxon), DPhil (Oxon), MSIEPM - juga dikenali sebagai Sheikh Afifi - ialah Felo KFAS dan pensyarah Pengajian Islam di Pusat Pengajian Islam Oxford, dan Pensyarah Pusat Islam dalam bidang pengajian Islam di Fakulti Teologi, Universiti Oxford, United Kingdom, dan juga merupakan felo pensyarah di Kolej Worcester, Oxford.

Beliau merupakan bangsa Melayu pertama seumpamanya yang berjaya menjadi salah seorang tenaga pensyarah di universiti yang paling berprestij di dunia.

Dato' Afifi telah berjaya mendapat ijazah kedoktoran falsafah (DPhil) dalam jurusan Falsafah Arab Pertengahan (Medieval) dari Universiti Oxford sebagai Cendekiawan Clarendon pada tahun 2008. Tesisnya telah menerangkan dan secara sistematiknya dianggap sebagai suatu bentuk penulisan falsafah yang diletakkan dibawah kumpulan pertama yang digelar sebagai karpus Madnun, dipersembahkan kepada teologis Islam termasyur, Imam Al-Ghazali (d. 505/1111) - penemuannya adalah berdasarkan kepada kaji selidik yang mendalam terhadap kira-kira 50 manuskrip Arab zaman pertengahan (medieval).

Selain itu, tiga jilid kajiannya yang menyajikan edisi kritis dari hasil kerja yang paling maju dan teknik dari korpus, manual pada metafizik dan falsafah alam yang disebut Major Madnun.

Dato' Afifi, yang berasal dari Batu Gajah, Perak, Malaysia, telah dilatih sebagai seorang ahli teologi dan ahli falsafah dalam kedua-dua bidang keutamaan khususnya berkaitan dengan Dunia Islam dan tradisi barat. Beliau telah dididik oleh pelbagai Ulama, Dunia Islam yang mahsyur sejak beliau memulakan pengajian dari sekolah pondok lagi. Kedua-dua ibu bapa beliau juga merupakan guru. Beliau telah menerima Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dalam bidang Falsafah Skolastik dan Sejarah Sains dari Universiti Queen Belfast, dimana beliau berpeluang mendapat pelbagai anugerah biasiswa untuk meneruskan pengajiannya di peringkat sarjana dan doktor falsafah di Oxford. Bidang kepakaran beliau adalah dalam bidang teologi Islam, falsafah dan sains.

Pada tahun 2009, bersama dengan Professor Muhammad Abdel Haleem dan IIIT, Dato' Afifi telah disenarai pendek sebagai salah seorang yang tersenarai dalam Anugerah Muslim UK Tahunan, atas kecemerlangannya menyumbang ilmu pendidikan Islam.

Pada tahun 2010, Dato' Afifi dilantik sebagai Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak, Malaysia, dimana pengisytiharaan ini telah disempurnakan oleh Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah.
Sepanjang hayatnya, beliau telah dianugerahkan :
- Darjah Paduka Mahkota Perak (P.M.P) (2011).
- Darjah Dato' Paduka Cura Si Manja Kini (D.P.C.M) (2012) dengan gelaran Dato'.
- Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2017


Disediakan oleh : Biro Publisiti dan Multimedia
.: Ukhwah Dirasai, BKAPJ Di Hati :.

KEMPEN : JOM KENALI PERAK

PENGENALAN KEMPEN.

Assalamualaikum wbt.

Biro Publisiti dan Multimedia BKAPJ 17/18 akan menjalankan Kempen Jom Kenali Perak selama sebulan sepanjang Februari ini.

Kempen ini dijalankan bertujuan untuk mendedahkan dan menambahkan lagi pengetahuan am berkaitan negeri Perak kepada semua ahli MPMMJ umumnya dan ahli BKAPJ khususnya.
Antara isi yang akan disampaikan sepanjang kempen ini berjalan adalah berkaitan tokoh-tokoh kelahiran Perak, seni warisan, makanan istimewa dan tempat yang menarik di negeri Perak.

Terdapat aktiviti menarik juga yang akan dijalankan pada penghujung kempen ini iaitu Photo Contest. Pertandingan ini bertemakan bebas, dan hadiah lumayan pasti menanti anda.

Jadi, terus nantikan hebahan menarik dan perkongsian dari kami sepanjang kempen ini berjalan. Ayuh sama-sama kita menjayakan kempen ini agar seluruh ahli dapat manfaat daripadanya.
Jom! Kita kenal Perak!



Disediakan oleh : Biro Publisiti dan Multimedia
.: Ukhuwah Dirasai, BKAPJ Di Hati :.

MAKLUMAN JUALAN VARSITI BKAPJ 17/18 UNTUK ALUMNI BKAPJ

Assalamualaikum wbt.

Sukacita dimaklumkan kepada semua ahli, tempahan varsiti BKAPJ kini dibuka di bawah kelolaan Biro Pembangunan Ekonomi.

Terdapat dua jenis varsiti yang akan dikeluarkan :
1. Varsiti Biasa (15 JD/RM82)
2. Varsiti Hoodies (16 JD/RM88)
* Harga termasuk postage ke rumah bagi alumni.

Bagi alumni yang berminat untuk memiliki varsiti ini, anda dikehendaki mengisi spreadsheet di bawah dengan mengisi alamat rumah di Malaysia pada ruangan Mantiqah.


Sebarang pertanyaan boleh hubungi Biro Pembangunan Ekonomi kami:
Ahmad Farhan: +962797502686
Iqbal Rezal: +962779634258

Nota: Bayaran hanya akan dikutip selepas baju betul-betul siap dengan bukti (gambar dah siap dari kedai). InshaAllah apabila cukup bilangan minima tempahan, jualan akan diteruskan.




Terima kasih.
Disediakan oleh : Biro Pembangunan Ekonomi

.: Ukhwah Dirasai, BKAPJ di Hati :.

PERMOHONAN DERMASISWA ZAKAT MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU PERAK TAHUN 2018 (MESIR, JORDAN DAN MOROCCO)

Siswa/wi Perak di Mesir, Jordan dan Morocco,
Selamat Menjalani Peperiksaan Tahunan, kami mendoakan semoga anda semua dikurniakan kecemerlangan dan ilmu yang bermanfaat. Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.

2. Dimaklumkan bahawa permohonan dermasiswa zakat MAIPk akan dibuka bermula pada 15 Januari sehingga 28 Feb 2018.

2.1. PEMOHON KALI PERTAMA (PENGAJIAN ISLAM SAHAJA)
anda boleh mengemukakan permohonan secara manual (borang boleh dicetak melalui laman sesawang: (www.maiamp.gov.my). Atau klik link berikut:
Dokumen yg perlu disertakan seperti berikut:
👉Terjemahan Pengesahan Pengajian (tasdiq)
👉Keputusan Peperiksaan Terkini
👉Slip Gaji Bapa & Ibu/ Pengesahan Pendapatan Ketua Keluarga dari Ketua Kampung/Penghulu
👉Muka Hadapan Buku Akaun Bank
Setelah selesai semua, scan dan emailkan kepada: sharifahnurulain@maiamp.gov.my (Puan Sharifah).
Dan satu salinan permohonan mestilah dihantar sendiri ke pejabat Atase Pendidikan Perak.

2.2. PEMOHON KALI KEDUA DAN BERIKUTNYA (PENGAJIAN ISLAM DAN SAINS KESIHATAN)
Anda boleh mengisi permohonan secara online seperti pautan yang terkandung dalam iklan di link: http://isyura.maiamp.gov.my/fisabilillah.
Permohonan di Mesir;
Semua borang yang telah lengkap perlu dicetak satu salinan dan dihantar sendiri ke Pejabat Atase Pendidikan Perak (wakil tidak dibenarkan).

3. Pelajar-pelajar digalakkan agar dapat menyebarkan iklan ini kepada rakan-rakan anda yang lain bagi mengelakkan keciciran maklumat dan terlepas daripada tarikh permohonan sebenar. Sekiranya terdapat sebarang permasalahan sila menghubungi talian: +201093355520/En. Munawir, call & whatsapp, atau +201024824523/ En. Muhammad Fauzan, call & whatsapp.

4. Kerjasama baik daripada semua sangatlah dihargai dan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.
Wassalam.

Salam Mesra,
MUNAWIR BIN MOHAMED NOH
Atase Pendidikan Perak
Mesir, Jordan dan Morocco


.: Ukhwah Dirasai, BKAPJ di Hati :.

GATHERING ANAK PERAK IRBID

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah, pada 25 Disember 2017 yang lalu telah berlangsungnya Gathering Anak Perak Irbid yang bertempat di Bayt Soff, Irbid.

Gathering ini bertujuan untuk mengeratkan lagi ukhuwah anak-anak Perak yang berada di Irbid, juga diadakan sesi ramah mesra bersama pelajar tahun 1.









Terima kasih diucapkan kepada semua ahli yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan gathering ini.


Disediakan oleh : Biro Publisiti dan Multimedia
.: Ukhwah Dirasai, BKAPJ Di Hati :.

UCAPAN TAHNIAH KEPADA MAIPK

Ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak (MAIPk) di atas Anugerah Zakat Kebangsaan (Inovasi Terbaik - Agihan) bagi tahun 2017 di Majlis Perasmian Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan (BZK) dan Seminar Pembangunan Serantau (SPAS) 2017.

Tulus ikhlas daripada kami, Badan Kebajikan Anak Perak Jordan.



Disediakan oleh : Biro Publisiti dan Multimedia
.: Ukhwah Dirasai, BKAPJ Di Hati :.

AGIHAN BARANG ASASI ‘WE SHARE, WE CARE’ MANTIQAH MU’TAH

[ AGIHAN BARANG ASASI ‘WE SHARE, WE CARE’ MANTIQAH MU’TAH ] Assalamualaikum WBT. Pada 25 Disember 2019, perwakilan BKAPJ Mu’tah ...